18.7.09

'100 hari Najib' gagal di Manek Urai?


Bila aku baca satu artikel harakahdaily.net bertajuk '100 hari Najib' gagal di Manek Urai, tercuit rasanya hati untuk berpantun dua kerat.

Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.

Rasanya semua orang tahu bagaimana nak bezakan majoriti undi 1000 lebih dengan majoriti undi hanya 65. Takkan tak ada beza besar kot?

Kayu ukur bagi menilai prestasi sebenar Umno hanya boleh dilihat pada pilihan raya umum Ke-13 dan bukannya pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Begitulah penilaian penulis artikel, Muhamad Yusri Amin.

Pada hemat aku, penyokongPakatan Rakyat (PR) kena sedar bahawa dengan sokongan yang begitu kuat pada PRU ke 12 lalu, mereka masih tak mampu menawan Malaysia. Apakah mereka yakin PRU ke 13 menjanjikan keputusan yang lebih baik? Musykil...

"Kalau kail panjang sejengkal janganlah lautan dalam hendak diduga."

Apa Dia Tun?




Aku memang tergelak sendirian bila baca permintaan Tun Abdullah Badawi dalam harakahdaily.net. Sedarkah Tun apa yang dimintanya itu seumpama memalit tahi ke muka sendiri.

Sebagai (bekas) menteri dalam negeri, saya telah menandatangani banyak penahanan tanpa perbicaraan di bawah ISA dan dengan kerajaan hari ini ingin pula mengkaji semula keberkesanan serta impak ISA, saya berasa terpanggil untuk memberi pandangan ikhlas mengenai akta ini.

"Perlu ditegaskan bahawa Malaysia masih memerlukan suatu mekanisme penahanan pencegahan demi keselamatan negara kerana cabaran yang kita hadapi seperti ancaman keganasan yang merentasi sempadan menuntut perundangan yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan pencegahan," beliau dipetik berkata.

Abdullah menambah, sama ada suka mahupun tidak, ISA sebagai suatu akta sudah dicemari dengan stigma sebagai unsur negatif kepada agenda pemerkasaan demokrasi negara dan untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani untuk melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru.

Abdullah dilaporkan berkata beliau percaya "kerajaan berani melakukan perubahan seumpamanya seperti memansuhkan ISA" sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara.

"Inilah transformasi yang saya percaya rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

"Mungkin satu contoh adalah untuk menghadkan skop penahanan pencegahan kepada ancaman tertentu atau akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja sekaligus mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya seperti dilaporkan.

Memang patutlah dicipta perkataan 'hipokrit" dalam kamus manusia. Ada manusia macam Pak Lah yang pandai berkata-kata tetapi tindakannya tiada. Syukurlah kau dah tak pegang tampuk pemerintahan lagi.

"One should examine oneself for a very long time before thinking of condemning."
Moliere.

Pengeboman di Indonesia


Bercuti di Indonesia memang menarik. Aku syorkan pada kau orang semua supaya bercuti di sana. Boleh kata serba-serbinya menarik, dari cuaca, persekitaran, bahasa, harga barang-barangnya hinggalah kepada budayanya. Yang sedikit menyesakkan hanyalah makanannya. Itupun bukan semua orang ada perut macam aku.

Dan alangkah syukurnya aku kerana tak berada di Indonesia pada saat genting macam sekarang. Bayangkan apa akan jadi pada percutian kami sekeluarga sekiranya berlaku pengeboman. Tentu panik dibuatnya.

Maklumlah cuti sekolah. Masing-masing nak berjalan untuk sedikit ketenangan. Memang malanglah kalau ketenangan yang dicari bala pula yang menimpa.


"Syukur padaMu Allahu Rabbi."

Dihina Pengurup Wang Singapura Kerana RM10


Keratan dari Harian Metro Sabtu 18 Julai 2009

JOHOR BARU: Seorang kerani di sebuah firma guaman hanya mampu menahan malu dan terpinga-pinga sendirian apabila dihalau pengurup wang ketika cuba menukar wang kertas RM10 dengan dolar Singapura, berdekatan terminal bas di Rochor Road, negara itu, Isnin lalu.

Lebih mengecewakan, pengurup wang berkenaan bersikap kurang ajar apabila menghambur kata-kata ‘lu angkat lu punya wang, berambus’, kepada mangsa tanpa memberikan sebarang penjelasan.

Kerani terbabit, Mohd Fauzi Azhan, 23, berkata dia kesal dengan layanan pengurup wang berkenaan selain menyifatkan ia sebagai penghinaan besar terhadap dirinya dan mata wang negara ini.

“Saya ke Singapura dengan menaiki bas pada Sabtu lalu untuk menziarah saudara yang sakit sebelum mengambil keputusan pulang pada Isnin.

“Bagaimanapun, ketika hendak menukar wang kertas RM10 di kaunter pengurup wang, saya dihalau tanpa sebarang sebab dan terkilan dengan sikap kurang ajar pengurup wang itu,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Mohd Fauzi berkata, dia bukan saja terkandas di negara berkenaan malah tidak dapat pulang ke Johor Bahru untuk bekerja.

“Tambang bas di negara itu memerlukan dolar Singapura...andai saya sendiri gagal menyediakan mata wang mereka, bagaimana hendak meneruskan perjalanan?

“Saya kemudian terpaksa menebalkan muka menghubungi beberapa rakan dan saudara yang tinggal di Singapura untuk meminjam wang dan pulang ke rumah di Taman Megah Ria di sini.

“Sampai ke Kompleks Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar, saya terus membuat laporan polis berhubung kejadian. Selain itu, saya membuat semakan dengan pegawai Bank Negara untuk mengesahkan bahawa wang RM10 berkenaan adalah sah serta boleh digunakan,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, biarpun segala pengesahan berhubung isu berkenaan sudah diperoleh, dia masih tertanya-tanya sebab sebenar dihalau pengurup wang terbabit.

“Saya sangat kesal...pengurup wang itu bukan saja menolak mata wang negara ini tanpa sebarang sebab malah bertindak luar batasan dengan kata-kata kasar,” katanya.

"Pengurup wang macam ini memang patut kena tembak. Kecik tak nak mampus dah besar menyusahkan orang."

Nilai Patriotisme Sekarang


Malam tadi aku nampak di kaca TV bingkisan latihan kelab bolasepak Manchester United dari England.

Aku tak lah kisah mereka nak berlawan menentang pasukan Malaysia, tempat kelahiran aku ini.

Yang aku kisahkan sikap anak-anak muda sekarang yang terlalu fanatik sehinggakan lupa asal-usul mereka. Pagi tadi di saluran 501 Astro Awani terpapar siaran 4 orang anak muda Melayu yang dah tak ingat mereka tinggal di mana lagi. Terang-terangan menyatakan sokongan untuk kelab bolasepak orang putih ni.

Sikap anak-anak muda Malaysia sekarang memang jauh berbeza dengan anak-anak muda di zaman dulu. Walaupun pasukan negara sendiri taklah hebat berbanding pasukan asing, taklah pulak mereka berbangga menyatakan sokongan untuk orang putih ini. Jauh di sudut hati mereka tetap juga mahukan pasukan negara sendiri mengalahkan pasukan orang putih ini. Jenguk sekejap kenangan perlawanan persahabatan Malaysia menentang England dan Liverpool suatu masa dahulu. Masa itu rakyat Malaysia bersorak hanya untuk pasukan negara sendiri. Walaupun kalah tapi mereka tetap berbangga riak patriotisme.

"Anak-anak muda sekarang sedang menuai sendiri kemusnahan generasi akan datang. Tengok ajelah nanti."